11 LAGENDA BANJIR BESAR
1. Sumeria
Epik Gilgamesh menceritakan "Tuhan-tuhan" mahu membersihkan dunia yang
sarat dengan manusia namun memberi petanda kepada Utnapishtim melalui
mimpi. Utnapishtim & beberapa tukang membina kapal 7 tingkat lalu
menghimpunkan ahli keluarga, tukang-tukang dan "benih segala
penghidupan".
Banjir melanda selama 6 hari 6 malam dan "Tuhan-tuhan" berasa "menyesal"
lalu menyurutkannya pada hari ketujuh. Kapal itu mendarat di puncak
Gunung Nisur iaitu satu-satunya tanah terselamat. Burung merpati &
layang-layang dilepaskan namun kembali semula kerana tiada tempat untuk
mereka bertenggek.
Beberapa hari kemudian mereka melepaskan burung gagak & setelah ia
tidak kembali selepas 7 hari maka barulah mereka berasak-asak keluar.
Utnapishtim membuat korban kepada "Tuhan-tuhan" lalu dia & isterinya
dikurniakan kehidupan abadi di penghujung dunia.
2. Babylon
Pada setiap 1200 tahun (iaitu 3 kali, setakat ini..) "Tuhan-tuhan"
berasa terganggu dengan keramaian manusia. Dewa Enlil menasihatkan Tuhan
agar memusnahkan seluruh manusia dengan banjir namun Dewa Enki sempat
memberitahu Atrahasis agar membina bahtera untuk menyelamatkan diri.
Kapal diisi dengan ternakan, binatang liar, mergastua dan ahli keluarga
Atrahasis. Mereka yang terselamat akhirnya mendarat setelah banjir surut
untuk membina kehidupan baru.
3. Yahudi
Lantaran manusia yang banyak melakukan dosa maka banjir diturunkan dan
berlangsung selama 40 hari 40 malam. Selepas 150 hari banjir mulai surut
dan bahtera Nabi Nuh (Noah) terdampar di Pergunungan Ararat. Selepas 10
bulan puncak Ararat dapat dilihat dan 40 hari kemudian Nabi Nuh membuka
tingkap bahteranya. Setahun 10 hari selepas banjir barulah segala isi
kapal dikeluarkan.
4. Zoroastris (Agama Parsi lama)
Ahura Mazda memberi amaran kepada Yima bahawa bencana banjir akibat
kecairan ais akan melanda dunia yang penuh kedosaan ini. Ahura
mengarahkan Yima membina kapal dan diisi dengan tanaman, binatang kecil
& besar secara berpasangan.
5. Hindu
Manusia pertama, Manu, telah menyelamatkan ikan kecil daripada dimakan
ikan besar. Manu memelihara ikan tersebut sehingga besar lalu
melepaskannya kembali ke lautan.
Disebabkan budi, ikan itu bertemu semula Manu dan memberi amaran akan
banjir dan memberitahunya agar membina kapal. Manu membinanya dan
mengumpulkan setiap binatang. Apabila banjir melanda kapal Manu dibawa
ke puncak gunung dengan bantuan ikan dan tinggal di situ.
6. Greek-Rom
Tuhan Zeus mahu menghukum manusia akibat kejahatan mereka dan
memberitahu dewa-dewa lain bahawa dia akan mengurniakan ternakan dan
bangsa manusia yang baru. Pada asalnya Zeus mahu menggunakan kilat &
petir namun membatalkannya kerana teringatkan bahawa takdir telah
menentukan akan tiba satu masa laut, bumi dan langit akan bernyala
dengan marak dan seluruh penyangga alam akan runtuh binasa.
Dengan bantuan Poseidon, Zeus menurunkan ribut & gempa hingga
menenggelamkan segenap tanah kecuali puncak Gunung Parnassus. Neptune
turut melontarkan trisulanya ke bumi hingga sungai dan lautan menjadi
satu.
Hanya satu pasangan manusia, Deucalion & Pyrrha, terselamat kerana
diberitahu oleh Themis ketika pasangan ini sedang beribadat. Mereka
membina kapal dan terdampar di puncak Gunung Parnassus.
7. Aztek (Mexico)
Seorang alim bernama Tapi diberitahu oleh Pencipta agar membina kapal
untuk didiami dan setiap pasangan binatang bersamanya. Jirannya
menganggap dia telah gila. Sejurus kapalnya siap dibina hujan turun
mencurah-curah dan banjir melanda. Manusia berlari ke puncak gunung
namun turut tenggelam. Tapi terselamat.
8. Andaman
Di kepulauan Andaman terdapat kisah Tuhan Agung, Puluga yang tinggal di
langit. Puluga mencipta dunia dan manusia namun apabila manusia mulai
lupa pada Penciptanya maka Puluga menjadi murka lalu menghantarkan
banjir menenggelamkan seluruh dunia dan menghapuskan manusia. Hanya 4
orang sahaja yang terselamat iaitu Loralola, Poilola, Kalola dan
Rimalola.
9. Miao (China)
Orang-orang Miao dan Yao di Guizhao menceritakan kisah dua beradik Fu Xi
dan Nu Gua yang berhubungan baik dengan Tuhan Kilat yang memberikan
mereka benih labu. Apabila banjir besar melanda, mereka berlindung di
dalam buah labu dan hanya mereka berdua terselamat.
Mereka berkahwin dan beroleh segumpal daging yang kemudiannya dihiris ke
beberapa bahagian. Hirisan itu akhirnya ditiup angin ke serata dunia
lalu menempatkan kembali manusia di dalamnya.
10. Hawai
Lagenda Hawai menceritakan banjir Kaiakahinalii di mana semua kehidupan
terbunuh kecuali Nuu dan keluarganya yang kemudiannya meneroka semula
dunia setelah bahtera mereka mendarat di puncak Gunung Mauna Kea.
11. Batak
Naga Padoha, naga yang menanggung bumi di atas tubuhnya berasa terganggu
akan bebannya. Dia menggoncang tubuhnya dan membuang bumi ke laut. Dewa
Batara Guru melontarkan sebuah gunung ke dalam air untuk menyelamatkan
anak perempuannya. Dari situ, bangsa manusia diperturunkan dan tersebar.
No comments:
Post a Comment